30 December 2009

Salam Tahun Baru

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah syukur kita pada Allah SWT, setelah hampir 2 minggu Muharram 1431H menjelma, kini Tahun Baru Masihi 2010 pula menyusul. Yang pastinya, hari-hari yang berlalu perlu dijadikan iktibar untuk diteladani atau disempadani sebagai persediaan menghadapi masa hadapan. Pelajaran daripada kesilapan menjadi batu loncatan kebangkitan, pencapaian kejayaan menjadi panduan dan harus dikongsikan.
Manakala hari-hari yang bakal dilalui menjanjikan pelbagai peluang dan ruang, pelbagai pilihan dan ikutan. 'Benar' atau 'Salah', 'Menang' atau 'Kalah' bukan persoalan. Apa yang penting, kita perlu lakukan yang terbaik, selebihnya berserah pada Allah SWT.

Para pelajar sekalian,
Sesungguhnya, sebaik-baik amal yang baik adalah amal yang istiqomah. Istiqamah dalam erti kata amalan baik mambawa maksud melakukannya berulang-ulang kali (istimrar) dalam suatu jangka masa tertentu yang bersesuaian dengan amalan tersebut. Contohnya, amalan puasa sunat setiap Hari Isnin & Khamis. Kami yakin ramai pelajar yang melakukan amalan sunat tersebut tetapi kurang istiqomahnya. Ini merupakan contoh dan bukan bermaksud untuk menegur sinis.
Kepada para pelajar yang kerap menjalankan ibadat puasa sunat, syabas dan tahniah kami ucapkan dan didoakan moga amalan tersebut dapat membantu perjuangan anda untuk berjaya dalam pelajaran di bidang kedoktoran. Manakala para pelajar yang masih belum atau jarang melakukan amalan tersebut bolehlah meletakkan keazaman tinggi bersempena awal tahun untuk istiqomah melakukannya, insyaAllah.

Daripada Abu `Amru ( atau digelar juga Abu `Amrah ) Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu.
Baginda bersabda: Ucapkanlah! Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.


(Riwayat Muslim)

http://www.youtube.com/watch?v=ln9p3nG5lp4

Hadith tersebut mengajak kita menetapkan keimanan ke pada Allah SWT dan beristiqomah dalam melakukan amal ibadat sebagai manifestasi dari keimanan diri kepada-Nya.

Bersempena tahun baru ini, marilah sama-sama kita muhasabah kehidupan kita yang lalu. Tanyakan adakah diri ini sudah mengecap apa yang diazamkan pada awal tahun 2009 atau tahun-tahun sebelumnya? Tanyakan adakah istiqomah menjadi penegasan dalam melakukan amal ibadat?

Amalan istiqomah amat penting dalam kehidupan sebagai seorang pelajar kerana ia dapat membantu dalam proses pembelajaran dan kehidupan seharian. Dari Perbuatan menjadi Kebiasaan, Kebiasaan menjadi Amalan, Amalan menjadi Sikap, Sikap menjadi Tobi'ah (tebiat), Apabila sudah menjadi Tobiah, maka ianya bukan lagi suatu masalah atau asing dalam diri.

Maka saranan AQM-HQ:

1- Istiqomah dalam melakukan amal ibadat, bermula dengan ibadat wajib (solat berjemaah di awal waktu, dsb.) diikuti dengan amalan sunat (berpuasa, membaca Al-Qur'an, berzikir, dsb.);

2- Istiqomah dalam proses menjadi anak yang baik kepada keluarga dengan menjalankan amanah yang diberi sebagai pelajar di bumi Mesir;

3- Istiqomah dalam perjuangan untuk berjaya dalam pelajaran di Universiti dan menjadi pelajar terbaik.

"Allahummaltuf bina fi tayseer kulli 'aseer, fa inna tayseer kulli 'aseer 'alaika yaseer. Wa nas-alukal yusra wal mu-afaata fid dunya wal aakhirah"

Selamat Tahun Baru Maal Hijrah & Tahun Baru 2010. Massalaamah.



-Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP-AQM-HQ)



p/s: Artikel tambahan mengenai Istiqomah, layari:
http://aljawad.tripod.com/arsipbuletin/istiqamah.htm
http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg01474.html
http://blog.re.or.id/perintah-beristiqamah-dalam-agama.htm

1 comment:

  1. Artikel yang bagus untuk dikongsi. Kami rindukan Ustaz Razali.

    ReplyDelete

Terima kasih atas komen anda, semoga Allah SWT merahmati usaha murni anda.
~Ukhuwwah Itu Indah~